AGENDA

Kerajaan kaji akta proses pilihan raya ketika pandemik Covid-19

2 Nov 2020, 4:53 AM
Kerajaan kaji akta proses pilihan raya ketika pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan akan mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu yang melibatkan proses pilihan raya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata tidak dinafikan, pilihan raya seperti di negeri Sabah pada September lepas yang membabitkan perhimpunan beramai-ramai mengakibatkan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

"(Pilihan raya) ini adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya tidak boleh memberi maklumat lanjut sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum boleh atau tidak dilakukan, tetapi kerajaan sentiasa memantau.

"Jika perlu wujudkan akta-akta tertentu, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan membuat cadangan kepada rakyat," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada kerajaan akan mewujudkan akta tertentu seperti memendekkan tempoh kempen atau kaedah kempen baharu untuk mengekang wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata mekanisme pengurusan krisis negara yang dilaksanakan ketika ini berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes yang terlalu tinggi.

Katanya, mekanisme itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang menekankan amalan protokol kesihatan dan kebiasaan baharu.

Beliau menjawab soalan asal Fong Kui Lum (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam membendung penularan wabak itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619