AGENDA

Petugas barisan hadapan boleh usul lokasi sesuai taska tambahan

16 Okt 2020, 9:03 AM
Petugas barisan hadapan boleh usul lokasi sesuai taska tambahan

SHAH ALAM, 16 OKT: Petugas barisan hadapan boleh mengusul lokasi pusat jagaan sesuai bagi anak-anak mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia sebagai bantuan alternatif kepada golongan itu menguruskan anak masing-masing sehingga 27 Oktober ini.

"Kita mahu mudahkan urusan mereka. Jika ada lokasi sesuai boleh maklum kepada Kerajaan Selangor dan permohonan akan diuruskan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas Program Pembekalan Kit Pembasmi Covid-19 dan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliners (iPAF) hari ini.

Beliau berkata langkah mengaktifkan semula sembilan taska sementara bertujuan membantu dan meringankan beban petugas terbabit memandangkan ketika ini taska dan pusat asuhan ditutup.

"Taska dibuka dari jam 7 hingga 5.30 petang dan ada lokasi tertentu dibuka pada hujung minggu. Anak mereka akan dijaga sebaik mungkin oleh petugas berpengalaman," katanya.

Hari ini, Dato' Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan sepanjang PKPB.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619