AGENSI

Polis: Boleh keluar selepas 12 tengah malam, hanya kes kecemasan

15 Okt 2020, 1:04 PM
Polis: Boleh keluar selepas 12 tengah malam, hanya kes kecemasan

PETALING JAYA, 15 OKT: Polis tiada halangan membenarkan orang awam keluar selepas jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sehingga 27 Oktober ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kebenaran itu hanya dibolehkan bagi individu yang mempunyai keperluan khusus dan kes kecemasan, demi mengelak penularan wabak Covid-19.

"Jika mahu keluar, amalkan penjarakan fizikal dan pakai pelitup muka serta patuhi tatacara operasi piawai serta pastikan selesai urusan, terus balik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Asrama Tropicana yang merupakan kawasan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin lalu sehingga 25 Oktober ini.

Nik Ezanee berkata mengikut pemerhatian, kadar pematuhan PKPB membabitkan penduduk di Petaling Jaya berada pada tahap 99 peratus.

PKPD selama 14 hari di Tropicana dibuat atas saranan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan beberapa kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja Tropicana Corporation Berhad.

Nik Ezanee berkata seramai 507 pekerja menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 240 adalah warga tempatan dan selebihnya warga asing.

Setakat ini, 26 penghuni di asrama tersebut didapati positif Covid-19, katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619