AGENDA

Kakitangan positif Covid-19, UniSZA ditutup sementara

4 Okt 2020, 2:16 PM
Kakitangan positif Covid-19, UniSZA ditutup sementara

KUALA NERUS, 4 OKT: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja nyah kuman secara menyeluruh dilakukan susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata penutupan itu melibatkan semua kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut selama tiga hari bermula esok.

"Dalam tempoh penutupan itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan seperti biasa secara dalam talian bagi memastikan keselamatan pelajar dan kakitangan.

"Sebagai langkah kawalan, UniSZA telah memutuskan supaya semua kakitangan bekerja dari rumah bermula 5 hingga 7 Oktober bagi membolehkan aktiviti disinfeksi (dijalankan) secara menyeluruh,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata arahan ini membabitkan semua operasi pentadbiran kecuali kakitangan dalam perkhidmatan penting seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman tertakluk kepada kelulusan Naib Canselor.

Hassan Basri berkata kakitangan yang positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang yang juga dinaiki seorang individu yang pulang dari Sabah dan individu itu kemudian disahkan positif virus berbahaya tersebut.

Susulan kes itu juga, seramai 14 kakitangan UniSZA yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit tersebut telah diletak di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan.

Warga UniSZA lain yang mempunyai kontak dengan kakitangan yang dikuarantin juga telah diarah menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 2 Oktober bagi mengelak penularan dalam kampus.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan Mac lalu, UniSZA telah mengambil langkah menangguhkan semua program bersemuka sehingga keadaan kembali reda.

"UniSZA juga menggerakkan pasukan kaunseling terlatih dan unit kebajikan yang aktif membantu kakitangan serta keluarga yang terjejas," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 584 pelajar yang berada di kampus dan pihaknya memberi jaminan akan memastikan segala keperluan serta kebajikan mereka terpelihara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619