AGENDA

Covid-19: Kerajaan perkemas SOP di masjid, surau

3 Okt 2020, 7:05 AM
Covid-19: Kerajaan perkemas SOP di masjid, surau

KUALA KUBU BHARU, 3 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan tatacara operasi piawai (SOP) di masjid dan surau akan diperkemaskan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini.

Berkongsi mengenai perkembangan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi, katanya SOP baharu di masjid atau surau setakat ini tidak dibincangkan.

"Tidak dibincangkan (mengenai SOP baharu di masjid dan surau), sekadar kita akan memperkemaskan SOP dan kepatuhannya," katanya kepada Bernama selepas menyempurnakan majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ sesi 2020 serta majlis Penganugerahan Darul Quran Jakim di sini hari ini.

Mesyuarat khas MKN itu turut dihadiri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta menteri-menteri berkaitan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baharu Covid-19, iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

Sementara itu, pada majlis hari ini seramai 80 peserta kursus Perawatan Islam Darussyifa’-Darul Quran diraikan di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim.

Kursus Perawatan Islam ini merupakan program kerjasama antara Darul Quran dengan Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’).

Zulkifli berharap dengan pengijazahan para peserta itu dapat menjadi satu daripada penyelesaian kepada masyarakat yang buntu ketika mereka diuji oleh Allah SWT dengan kesakitan dan seumpamanya.

Beliau turut menasihatkan para pengamal perubatan Islam juga perlu menjadi pendakwah yang ikhlas membawa pesakit lebih dekat kepada Allah melalui kaedah perawatan rukyah Islam.

“Terdapat banyak ajaran dan amalan tidak berlandaskan kepada ajaran Islam sebenar bahkan bercanggah dengan akidah serta syariat Islam yang tidak berasaskan daripada sumber sahih.

“Jadi, inilah peranan dan tanggungjawab yang besar perlu digalas terutamanya para dai (pendakwah) dalam memelihara kesucian serta keagungan Islam bagi menjamin masa depan generasi umat Islam,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619