AGENDA

Tabika, taska Kemas di zon merah ditutup

3 Okt 2020, 5:56 AM
Tabika, taska Kemas di zon merah ditutup

TASEK GELUGOR, 3 OKT: Semua taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang berada dalam zon merah Covid-19 di seluruh negara kini ditutup, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Beliau berkata tindakan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan murid dan petugas.

"Setakat ini, sebanyak 281 tabika dan sembilan taska di Kedah, Terengganu dan Sabah membabitkan 6,699 murid telah ditutup… namun kami jangkakan mungkin akan ada lagi (tabika dan taska) di zon merah di negeri lain yang akan ditutup," katanya kepada pemberita selepas Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku hari ini.

Menurutnya penutupan itu adalah sehingga mendapat kebenaran untuk beroperasi daripada KKM.

Program anjuran Kemas itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Shabudin Yahaya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Mengulas lanjut, Mohamad Yazid berkata sejak beroperasi semula, tabika dan taska Kemas mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk membenarkan hanya 30 hingga 50 peratus kehadiran pada setiap hari bergantung pada keluasan kelas.

"Mereka datang ke kelas secara bergilir contohnya jika A datang hari ini esok dia tidak hadir kerana bagi memberi peluang murid B pula hadir.

“Kelas kami juga memang mematuhi SOP ditetapkan malah disanitasi setiap hari oleh petugas Kemas," katanya.

Beliau berkata ketika ini terdapat 11,900 kelas membabitkan 220,000 murid tabika dan taska Kemas di seluruh negara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619