AGENDA

Penganjur sukan 'rope swing' sebabkan wanita cedera tiada permit sejak 2017

2 Okt 2020, 1:05 AM
Penganjur sukan 'rope swing' sebabkan wanita cedera tiada permit sejak 2017

SHAH ALAM, 2 OKT: Pengusaha sukan lasak hayunan tali tinggi atau 'rope swing' di Kuala Kubu Bharu yang menyebabkan seorang wanita cedera baru-baru ini tidak mempunyai permit.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata berdasar makluman awal, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan permit kepada penganjur untuk menjalankan aktiviti berkenaan sejak 2017.

"Malah mereka pernah mendapat arahan polis untuk menghentikan operasi itu, tetapi gagal menurut arahan dan meneruskan aktiviti berkenaan sehingga berlakunya kejadian tidak diingini.

"Ekoran kemalangan pada 27 September yang melibatkan seorang wanita terhempas itu, MDHS telah mengeluarkan notis untuk menghentikan aktiviti berkenaan serta mengosongkan kawasan terbabit," katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga EXCO pembangunan generasi muda berkata Kerajaan Negeri turut mengarahkan semua aktiviti hayunan tali tinggi dihentikan serta-merta.

Menurutnya, aktiviti itu hanya dibenarkan sehingga pihak berkuasa tempatan mengkaji serta meluluskan peraturan berkaitan di bawah sub program pemurnian pelancongan Selangor.

"Kerajaan Negeri juga akan memantau dan mendapatkan perkembangan semasa mangsa, Siti Halijah Abd Rahim. Saya mendoakan supaya beliau kembali sembuh dari kecederaan yang dialami."

Sebelum ini, Siti Halijah, 33, dilaporkan terhempas serta mengalami kecederaan tulang belakang selepas melakukan aktiviti lasak itu di Kuala Kubu Bharu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619