BERITA UTAMA

Ganti 1,177 hektar tanah jika hutan Kuala Langat dimajukan

28 Sep 2020, 1:06 PM
Ganti 1,177 hektar tanah jika hutan Kuala Langat dimajukan

KUALA LANGAT, 28 SEPT: Selangor menyediakan 1,177.31 hektar tanah sekiranya cadangan untuk memajukan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dilaksanakan.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata penggantian melibatkan Hutan Simpan Sungai Panjang, Sabak Bernam seluas 308.6 hektar, Hutan Simpan Sabak Bernam seluas 606.8 hektar dan hutan di Ampang Pechah, Hulu Selangor.

"Kesemua hutan yang diganti ini sudah mendapat kelulusan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 31 Januari lalu.

"Selain itu, Kerajaan Negeri pada ketika ini turut mempertimbangkan untuk meluluskan sebahagian lagi kawasan penggantian iaitu di Ampang Pechah, Mukim Buloh Telor, Hulu Selangor seluas 190.2 hektar, ia berpotensi menjadi hutan simpan kekal kerana kepelbagaian biodiversiti tinggi," katanya.

Beliau ditemui ketika Sesi Pendengaran Awam Cadangan Pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat, Mukim Tanjung Dua Belas di Amverton Resort Pulau Carey hari ini.

Loy Sian berkata negeri ini sentiasa mengamalkan prinsip dan dasar terbuka untuk menerima bantahan bagi pertimbangan daripada aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

"Justeru, sesi pendengaran awam ini diadakan bagi meneruskan proses penyiasatan awam ke atas cadangan pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan saya memohon supaya mereka yang mengemukakan bantahan menggunakan platform ini secara berhemah dan profesional," katanya.

Hutan simpan itu diwartakan pada 13 Mei 1927 dengan keluasan asal 7,247 hektar tetapi kini keluasannya tinggal 957.6 hektar dan dikelilingi pelbagai pembangunan.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntukkan dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619