AGENDA

SOP penginapan pekerja perlu diambil serius, elak penularan Covid-19

24 Sep 2020, 1:37 PM
SOP penginapan pekerja perlu diambil serius, elak penularan Covid-19

SEPANG, 24 SEPT: Pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) penginapan pekerja yang dikeluarkan oleh kerajaan perlu diambil serius agar keselamatan dan kesihatan masyarakat industri dijaga, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata ini kerana penginapan pekerja juga mempunyai hubung kait dengan isu penularan Covid-19.

“Pekerja yang mendiami penginapan yang disediakan oleh pihak syarikat merupakan salah satu kluster yang berisiko dan menyumbang kepada jangkitan wabak bukan sahaja Covid-19 tetapi penyakit lain seperti denggi, leptospirosis, tuberculosis dan lain-lain,” katanya ketika lawatan kerja ke Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) di sini hari ini.

Lawatan berkenaan adalah bertujuan meninjau pematuhan pengendali lapangan terbang itu terhadap Akta 446 berkaitan penginapan pekerja berkenaan.

Dalam pada itu, Awang berkata beliau berpuashati dengan tahap pematuhan MAHB terhadap Akta 446 itu atau Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 Pindaan 2019 yang berkuat kuasa 1 Sept lepas.

Akta 446 sebelum ini hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan bagi pekerja di sektor perladangan yang melebihi 20 ekar dan perlombongan sahaja, namun diperluaskan melalui pindaan pada 2019 kepada semua sektor pekerjaan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan kepada pekerja.

Penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 itu termasuk peraturan-peraturan baharu bagi mengawal standard perumahan dan kemudahan pekerja bertujuan mencegah penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619