AGENDA

Gagal patuh SOP penginapan pekerja, 23 majikan didakwa

29 Jan 2021, 6:24 AM
Gagal patuh SOP penginapan pekerja, 23 majikan didakwa

BUKIT MERTAJAM, 29 JAN: Sebanyak 23 majikan telah didakwa di mahkamah kerana gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dipinda pada 2019, sejak dikuatkuasakan pada 1 September tahun lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 100 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara.

"Setakat ini dalam operasi yang kita jalankan, hampir 80 peratus majikan mematuhi dan menunjukkan tahap pematuhan yang memuaskan,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi penguatkuasaan pematuhan Akta 446 di sebuah syarikat pembuatan kasut di kawasan Perindustrian, Bukit Tengah di sini hari ini.

Awang berkata kebanyakan majikan yang didakwa itu didapati gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) penginapan pekerja, antaranya menempatkan terlalu ramai pekerja di dalam sebuah bilik.

"Setiap bilik hanya boleh menempatkan dua orang pekerja, namun dalam tinjauan operasi kebanyakannya dihuni lebih ramai pekerja iaitu enam orang untuk satu bilik, manakala penggunaan bilik air hanya enam orang bagi satu bilik air,” katanya.

Awang berkata tindakan penguatkuasaan itu akan diperhebat bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat di negara ini mematuhi akta tersebut serta SOP Majlis Keselamatan Negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebelum dipinda pada 2019, akta itu hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja sektor perladangan yang melebihi 20 hektar serta perlombongan, namun kini undang-undang tersebut dikuatkuasakan ke atas semua sektor selain memperuntukan peraturan baharu berhubung standard perumahan dan kemudahan pekerja.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619