AGENDA

Wanita dera anak tiri guna pisau panas ditahan

23 Sep 2020, 12:55 AM
Wanita dera anak tiri guna pisau panas ditahan

KUANTAN, 23 SEPT: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki mendera anak perempuan tirinya berusia sembilan tahun dengan menggunakan pisau yang dipanaskan sehingga menyebabkan mangsa melecur di lengan kanan.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata kejadian dipercayai berlaku pada 3 petang Ahad lepas, di sebuah perumahan pekerja ladang di Muadzam Shah, kira-kira 90 kilometer dari sini, namun mangsa hanya mengadu kejadian itu kepada guru sekolahnya semalam.

"Suspek yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang dipercayai mendera mangsa kerana tidak berpuas hati dengan perbuatan kanak-kanak itu yang dikatakan memukul adik tirinya semasa suspek dan suaminya tiada di rumah.

"Sebagai hukuman, suspek dikatakan memanaskan pisau di dapur gas dan meletakkannya di lengan mangsa sehingga menyebabkan dua kesan lecur selain terdapat kesan lebam di dada serta kedua-dua paha mangsa," katanya semasa dihubungi, semalam.

Azari berkata mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Chanis, Muadzam Shah selepas dibawa oleh pihak sekolah yang turut melaporkan kejadian itu kepada polis.

Mangsa kini ditempatkan sementara di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsum.

Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah akan direman di Mahkamah Majistret Rompin esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619