AGENDA

SPRM dakwa pegawai kanan syarikat pecat pekerja salur maklumat

18 Sep 2020, 1:07 AM
SPRM dakwa pegawai kanan syarikat pecat pekerja salur maklumat

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang pegawai kanan syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi ini atas kesalahan memecat seorang kakitangannya, setelah memberikan maklumat berkaitan salah laku tertuduh.

Dalam kenyataan semalam SPRM memaklumkan badan itu telah mendapat izin Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa individu terbabit di bawah Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“Pertuduhan di bawah seksyen berkenaan merupakan kes pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010,” menurut kenyataan itu.

“SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan SPRM tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat.

"SPRM berharap agar pertuduhan berkaitan kes ini dapat memberikan isyarat kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa," menurut kenyataan itu.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bukan sahaja memberi perlindungan kepada individu yang memberi maklumat, malah turut melindungi mereka daripada dikenakan tindakan atau diberhentikan kerja.

Katanya, banyak kes rasuah dan salah guna kuasa yang dibongkarkan SPRM sebelum ini, adalah hasil maklumat daripada pemberi maklumat itu sendiri.

“Sejak 2010 sehingga kini, SPRM telah memberi perlindungan kepada 290 pemberi maklumat, ia jumlah yang agak besar dan kerjasama mereka menjadikan siasatan SPRM lebih efektif,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini semalam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619