BERITA UTAMA

Banci 2020: MPK sasar lebih 1 juta penduduk

17 Sep 2020, 12:41 PM
Banci 2020: MPK sasar lebih 1 juta penduduk

KLANG, 17 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyasar 1.04 juta penduduk daerah itu dibanci dalam dua fasa Banci 2020.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata bancian melibatkan 14 kawasan penguasa daerah, tiga daerah pentadbiran, 177 lingkungan banci (LB) dan 1,229 blok penghitungan (BP).

"Sambutan pada peringkat awal masih kurang memuaskan, namun kita akan terus menggiatkan promosi di semua platform untuk memastikan proses (bancian) berjalan lancar," katanya selepas merasmikan program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia hari ini.

Beliau menjelaskan pengumpulan data fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September menggunakan kaedah dalam talian (e-Census) manakala secara bersemuka pada 7 hingga 24 Oktober depan.

Terdahulu, MPK memperkenal 14 penguasa daerah terdiri daripada pengarah dan pegawai serta 14 'MyCensus District' (MyCD) daripada Jabatan Perangkaan.

Fadzli berkata inisiatif yang dilaksana setiap 10 tahun itu penting dalam memberi gambaran sebenar kependudukan semasa rakyat negara ini, khususnya di Klang.

"Justeru, kita berharap proses bancian dapat dijalankan dengan mudah walaupun negara masih menjalani fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Pada masa sama, kita mahu Jabatan Perangkaan mengeluarkan satu tatacara operasi piawai (SOP) selain menyediakan peralatan keselamatan seperti cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada penyelia serta pembanci yang bertugas."

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619