AGENDA

Covid-19: BWF tangguh final Piala Thomas, Uber

15 Sep 2020, 8:39 AM
Covid-19: BWF tangguh final Piala Thomas, Uber

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menangguhkan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober ini di Aarhus, Denmark susulan penularan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataannya hari in, BWF berkata keputusan dibuat selepas berunding dengan Badminton Denmark, namun menegaskan kejohanan berprestij tersebut akan berlangsung pada tahun ini juga.

Badan sukan badminton dunia itu juga mengakui tindakan beberapa pasukan menarik diri daripada kejohanan susulan kebimbangan akan pandemik tersebut turut menyumbang kepada penangguhan kejohanan.

“Walaupun kembalinya aksi badminton dunia kekal sebagai keutamaan kami, kesihatan dan keselamatan seluruh komuniti badminton lebih diutamakan,” kata badan itu.

Keputusan itu tidak memeranjatkan memandangkan beberapa negara seperti Thailand, Australia, Taiwan selain juara Piala Thomas 13 kali Indonesia menarik diri lebih awal daripada kejohanan.

Bagaimanapun menurut BWF, Kejohanan Terbuka Denmark di Odense dari 13 hingga 18 Oktober ini akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Kejohanan itu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan protokol keselamatan dan prosedur operasi Covid-19 bagi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Kejohanan kedua yang dijadualkan berlangsung di Odense iaitu Victor Denmark Masters 2020 dari 20 hingga 25 Oktober ini bagaimanapun dibatalkan,” kata BWF yang turut memaklumkan yang ia akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap tiga kejohanan Asia berdasarkan kalendar Jelajah Dunia yang telah diubah suai.

Sejak diperkenalkan masing-masing pada 1949 dan 1957, kejohanan Piala Thomas dan Uber tidak pernah dibatalkan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619