AGENDA

MPS tampal notis roboh premis cemar sungai

7 Sep 2020, 5:49 AM
MPS tampal notis roboh premis cemar sungai

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memulakan tindakan keras terhadap pemilik bengkel penyelenggaraan jentera yang mencemari Sungai Gong, Rawang sehingga menjejaskan lebih sejuta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kira-kira jam 9 pagi tadi, pihak berkuasa tempatan itu menampal notis di bawah Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, iaitu membina bangunan tanpa kebenaran daripada MPS.

Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad berkata pemilik diberikan tempoh tiga hari sehingga Rabu ini bagi membuktikan mereka mempunyai kebenaran bertulis bagi membina struktur bangunan.

"Selepas tempoh itu berakhir, MPS akan merobohkan bangunan sekiranya mereka gagal membuktikan mendapat kebenaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Zin berkata siasatan turut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan sejak beroperasi pada 2014 dan sudah diberi amaran sebanyak dua kali namun tidak diendahkan.

"Pemilik atau pengurusan bengkel ini langsung tidak menghantar sebarang permohonan untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Orang ramai mendesak bengkel itu dirobohkan susulan gangguan bekalan air membabitkan lebih sejuta pengguna mulai Khamis lalu.

Bahan cemar yang dilepaskan ke Sungai Gong menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Pada 5 September, Dato Menteri' Besar Dato' Seri Amirudin Shari turut mengarahkan pemiliknya mengosongkan tanah dan memulihkannya dengan segera.

Dalam kenyataan berasingan, Mohamad Zin berkata Pejabat Daerah dan Tanah Gombak menyerahkan Borang 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) atas kesalahan melanggar syarat guna tanah kepada pemilik premis tersebut.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619