AGENDA

Tragedi Christchurch: Penyerang masuk dalam senarai entiti pengganas

1 Sep 2020, 5:32 AM
Tragedi Christchurch: Penyerang masuk dalam senarai entiti pengganas

WELLINGTON, 1 SEPT: Pesalah yang bertanggungjawab ke atas serangan keganasan di Christchurch pada 15 Mac 2019, dimasukkan ke dalam senarai entiti pengganas, demikian umum Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Selasa.

"Penetapan itu menunjukkan New Zealand sangat mengecam keganasan dan ekstremisme dalam apa jua bentuk," kata Arden dalam satu kenyataan lapor agensi berita Xinhua.

Perdana Menteri itu berkata ia dilakukan berdasarkan undang-undang New Zealand, membekukan aset entiti pengganas dan menjadikannya satu kesalahan jenayah jika turut serta atau menyokong aktiviti entiti berkenaan.

"Ia bagi memastikan pelaku tidak boleh terlibat dalam membiayai keganasan pada masa akan datang," kata Ardern.

"Kita mempunyai tanggungjawab kepada New Zealand dan masyarakat antarabangsa untuk mencegah keganasan," katanya.

Kini terdapat 20 entiti pengganas di bawah undang-undang New Zealand, termasuk dalang kejadian Christchurch itu.

Di bawah Seksyen 22 Akta Memerangi Keganasan 2002, Arden menetapkan individu atau kumpulan sebagai entiti pengganas, atas nasihat pegawai.

Maklumat lanjut mengenai proses itu boleh didapati di laman web Polis New Zealand, katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619