AGENDA

Polis belanja RM67 juta ganti kereta peronda lama

28 Ogos 2020, 8:33 AM

MELAKA, 28 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperuntukkan RM67 juta untuk menggantikan 425 unit kenderaan peronda (MPV) baharu melibatkan model Honda Civic 1.8S dan Proton X70 secara berperingkat sehingga pertengahan September depan.

Pengarah Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata 250 unit merupakan Honda Civic, manakala 175 unit adalah Proton X70 yang akan diguna dalam tugasan rondaan bagi menggantikan MPV lama model Proton Waja yang sudah melebihi had penggunaan lapan tahun.

Katanya, PDRM kini dalam peringkat pembuktian konsep (POC) bagi memastikan Proton X70 sesuai digunakan untuk penugasan kepolisan melibatkan pelbagai aspek termasuk pemanduan defensif.

"Sekarang ini, pihak teknikal di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman sedang membuat pemeriksaan bagi setiap kenderaan yang diterima sebelum diserahkan kepada semua kontinjen secara berperingkat.

"Pada setiap kenderaan itu, kita tidak mahu ada perkara yang tidak memenuhi atau tidak mematuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan JPJKK untuk membuat tugas rondaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MPV di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 14 MPV Honda Civic diserahkan kepada IPK Melaka dan majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata MPV baharu yang diterima secara sewaan melalui konsesi dengan Syarikat Spanco Sdn Bhd itu dilengkapi peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka dan perakam video digital mudah alih serta ciri khas termasuk mempunyai kod kenderaan sendiri.

Beliau berkata kenderaan itu juga akan dilengkapi jaket kalis peluru untuk kegunaan anggota sekiranya berhadapan insiden melibatkan senjata api.

Sementara itu, katanya PDRM juga dalam usaha memperoleh 1,000 unit senjata tidak bawa maut atau 'non-lethal weapon' bagi kegunaan pegawai dan anggota khususnya untuk mengendalikan insiden orang agresif atau mengamuk.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619