AGENDA

Skuad boling negara hadapi 2020 tanpa sebarang kejohanan

27 Ogos 2020, 2:30 PM
Skuad boling negara hadapi 2020 tanpa sebarang kejohanan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) memutuskan untuk membatalkan kejohanan peringkat kebangsaan dan antara negeri, sekali gus menyebabkan atlet boling negara tidak menyertai sebarang kejohanan besar sehingga tahun 2021.

Perkara itu disahkan oleh Presiden MTBC Datuk Dr P.S Nathan kerana mengambil kira bajet serta keadaan penonton susulan pandemik Covid-19.

“Pertamanya, ia agak sukar untuk mendapatkan penaja, selain agaks ukar menarik minat penyertaan pemain daripada 14 buah negeri khususnya daripada Sabah dan Sarawak.

“Dari segi penonton pula, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan agar tiada penonton sama ada ketika kejohanan atau pun latihan,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Kejohanan lain yang turut terjejas berikutan Covid-19 adalah Kejohanan Asia di Hong Kong pada 4 hingga 14 Julai, Piala Dunia Boling AMF di Kuwait (November) dan Terbuka Malaysia (22-28 November).

Bagaimanapun, Nathan berkata pemain boling negara sentiasa dipantau dan menjalani latihan dalam tempoh empat bulan ini bagi mengekalkan kecergasan sebelum menghadapi jadual padat tahun depan, dengan tiga kejohanan besar dijadualkan berlangsung pada tahun 2021.

Musim baharu bermula dengan Kejohanan Asia pada 15-25 Januari, diikuti Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia di Thailand pada 21-30 Mei dan Kejohanan Belia Dunia di Helsingborg, Sweden pada 26 Jun hingga 4 Julai.

“Bagi memastikan pemain sentiasa bersedia, kita menganjurkan kejohanan dan latihan kejohanan secara dalaman. Pemain dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mewujudkan suasana pertandingan. Kami sentiasa memantau perkembangan mereka menerusi kejohanan dalaman itu.

“Mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, tidak diserap ke skuad elit tapi dimasukkan dalam pasukan pelapis. Peruntukan skuad pelapis adalah rendah berbanding skuad senior. Dengan ini, menjadikan semua pemain bersaing bagi merebut tempat mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nathan mengakui pusat boling di Malaysia terjejas susulan Covid-19 tapi menunjukkan tanda pemulihan selepas pemain dan orang ramai mula kembali bermain boling sebagai aktiviti rekreasi.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619