AGENDA

Kluster Tawar, PUI Sivagangga mungkin sumber sama - KKM

27 Ogos 2020, 11:40 AM
Kluster Tawar, PUI Sivagangga mungkin sumber sama - KKM

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Kluster Tawar dan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber yang sama, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata empat sampel daripada virus Kluster Tawar telah dibandingkan dengan tiga sampel Kluster PUI Sivagangga, dan hasil menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus itu daripada 'clade' yang sama.

"Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber yang sama. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebelum ini, kajian virologi terhadap Kluster Tawar dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mengambil kira peningkatan kes yang mendadak sehingga melibatkan daerah dan negeri lain.

Beliau berkata sebanyak 14 sampel diambil bagi tujuan 'full genome sequencing' atau susunan genom menyeluruh dan empat sampel berjaya mendapat virus untuk kajian susunan itu, dan didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, Kluster Tawar mencatat 73 kes positif dan seramai 4,521 orang telah disaring dalam kluster tersebut di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Beliau berkata selain daripada aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan aktif kes dan kontak untuk membendung penularan jangkitan Covid-19, penilaian risiko bagi Kluster Tawar dijalankan dan mendapati taburan kes positif Covid-19 tidak tertumpu hanya di suatu lokaliti.

Selain itu, penularan juga dilaporkan berlaku daripada kes asymptomatic atau tidak bergejala, virus D614G sama dengan virus Kluster PUI Sivagangga, kawasan penempatan agak padat, banyak pergerakan penduduk di dalam dan di antara daerah serta liputan saringan penduduk yang masih rendah kadar positif iaitu lebih daripada satu peratus, katanya.

"Oleh itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di tiga zon di Aman Jaya, Kedah iaitu Kenanga, Mawar dan Melur berkuat kuasa jam 12.01 malam, 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan," kata Dr Noor Hisham.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619