AGENDA

Mardi lancar empat produk inovasi makanan

27 Ogos 2020, 5:31 AM
Mardi lancar empat produk inovasi makanan

SERDANG, 27 OGOS: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan empat produk inovasi makanan termasuk keropok lekor yang mampu kekal lembut dan rangup biarpun sudah sejuk selepas beberapa jam digoreng.

Tiga lagi produk yang dilancarkan Mardi hari ini ialah pracampuran tepung perata tanpa gluten dari ubi kayu dan bayam; pemanis mulut bebas laktosa dari ubi keledek ungu bersama santan sawit; dan sup ikan talapia merah dengan cendawan yang tinggi protin.

Pegawai penyelidik kanan Mardi, Nor Salasiah Mohamed berkata teknologi inovasi keropok lekor sejuk beku berkenaan yang bernilai RM20,000 dihasilkan Mardi melalui penyelidikan selama dua tahun.

“Selain rasa ikan yang lebih ketara, teknologi inovasi keropok lekor Mardi turut mengatasi masalah keropok lekor yang keras dan liat apabila sejuk,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran itu.

Setakat ini, Salasiah berkata, dua pengusaha keropok lekor iaitu Rara Lekor, dan KLOG atau Keropok Lekor Orang Ganu sudah membeli teknologi inovasi keropok lekor Mardi itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah yang melancarkan keempat-empat produk itu di Mardi di sini berkata penyelidikan yang dijalankan Mardi akan membolehkan usahawan tempatan meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

“Mardi telah banyak hasilkan penemuan yang berjaya. Usahawan perlu bekerjasama dengan Mardi dalam menghasilkan penemuan baharu dalam penyelidikan makanan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619