AGENDA

Nilai moratorium dianggarkan RM74.3 bilion setakat 14 Ogos

27 Ogos 2020, 4:19 AM
Nilai moratorium dianggarkan RM74.3 bilion setakat 14 Ogos

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM74.3 bilion setakat 14 Ogos 2020, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM26.0 bilion telah dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM48.3 bilion.

Moratorium yang berkuat kuasa pada 1 April lepas akan berakhir pada 30 September depan.

"(Bagaimanapun) institusi perbankan akan terus membantu peminjam yang terjejas akibat Covid-19 menerusi pelaksanaan bantuan bersasar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-18 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jalan Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul juga mengingatkan mereka yang masih terjejas itu agar tidak menunggu sehingga ke saat-saat akhir untuk menghubungi institusi perbankan masing-masing bagi membincangkan sebarang permintaan membabitkan pilihan pembayaran balik berkenaan.

“Menerusi pembukaan semula ekonomi secara berperingkat sejak Mei 2020, pelaksanaan bantuan bank bersasar yang bermula 1 Oktober, 2020 adalah wajar untuk mereka yang masih terjejas. Inisiatif ini adalah untuk memastikan bahawa sistem perbankan negara kekal kukuh dan utuh," katanya.

Malah, tegas beliau, sistem perbankan yang kukuh adalah penting bagi menyokong usaha pemulihan ekonomi dengan terus menyediakan akses pembiayaan kepada kalangan perniagaan dan isi rumah selain sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan ketidaktentuan pada masa akan datang.

Selain itu, industri perbankan juga mempunyai obligasi dalam membayar keuntungan kepada tabungan deposit pelanggannya, kata beliau.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619