AGENDA

Agrobank tawar moratorium enam bulan bantu pelanggan terjejas bah

21 Dis 2022, 11:00 AM
Agrobank tawar moratorium enam bulan bantu pelanggan terjejas bah

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Agrobank hari ini manawarkan moratorium sehingga enam bulan dan penjadualan serta penstrukturan semula pembiayaan kepada pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir.

Kedua-dua inisiatif tersebut terkandung dalam Pelan Bantuan Banjir yang diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Beliau berkata sebagai institusi kewangan pembangunan (IKP) yang prihatin, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan pelanggannya dilindungi dan dibantu dengan sewajarnya.

“Pelanggan kami adalah keluarga kami dan seluruh kakitangan Agrobank amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata Pelan Bantuan Banjir telah dirangka khas untuk membantu pelanggannya membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing.

“Selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah disebabkan banjir.

"Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank," katanya menerusi satu kenyataan sempena lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke Ibu Pejabat Agrobank, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata pelan yang dirangka oleh Agrobank diharap dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa banjir serta memastikan nasib komuniti agropreneur terbela.

"Ini bagi membolehkan pembangunan perniagaan pertanian mereka terjamin sekali gus meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti pertanian serta membangunkan kestabilan sekuriti makanan negara," katanya. - BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619