AGENDA

Kerajaan bina projek takungan air di empat negeri

25 Ogos 2020, 5:06 AM
Kerajaan bina projek takungan air di empat negeri

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Kerajaan melaksanakan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di empat negeri dalam usaha memperbanyak takungan air di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek TAPS yang dilaksanakan di Melaka, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan itu kini berada pada pelbagai peringkat pembinaan.

“Untuk di Melaka kita telah bina dua TAPS membabitkan peruntukan berjumlah RM550 juta, sementara di Langkawi, Kedah, TAPS dibina di Padang Mat Sirat bernilai RM550 juta.

“Di Johor ialah Sungai Johor yang kita sediakan peruntukan sebanyak RM407 juta yang dijangka siap pada 2025. Untuk makluman di Johor perunding telah dilantik pada 15 Jan.

“Selain itu, di Negeri Sembilan, TAPS Linggi dalam proses pembinaan dan kita jangka siap pada 2025. Sebanyak RM400 juta diperuntukkan,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu usaha kerajaan dalam membina Kolam Takungan Hiliran yang boleh dibuat di kawasan menghadapi pencemaran akibat kemarau.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) yang mahu tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan menggunakan air bawah tanah sebagai antara sumber air negara, khususnya di Langkawi, Tuan Ibrahim berkata kajian terperinci sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata ini termasuk menangguhkan pembinaan TAPS di Padang Mat Sirat bagi memberi ruang kepada kajian terperinci untuk melihat kemungkinan pembinaan empangan air bawah tanah di Langkawi.

“Kajian (juga bagi melihat) kemungkinan projek pembinaan atau naik taraf ‘bondage storage’ di Padang Saga, Langkawi, Kedah. Untuk kajian ini kerajaan peruntukkan RM1 juta,” katanya.

Menurutnya kajian selama 15 bulan itu dilaksanakan bermula 20 Mac lepas dan dijangka selesai pada 19 Mac 2021.

“Idea peringkat awal dibuat di zaman beliau (Xavier selaku bekas menteri Air, Tanah dan Sumber Asli). Pihak kerajaan teruskan agenda ini cuma kita perlu buat kajian terperinci,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619