AGENDA

APMM lancar operasi SAR kru kapal kargo hilang di perairan Selangor

21 Ogos 2020, 11:23 PM
APMM lancar operasi SAR kru kapal kargo hilang di perairan Selangor

SHAH ALAM, 22 OGOS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kru kapal kargo warga China yang dilaporkan jatuh ke dalam laut di perairan Selangor, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata mangsa Yang Kai Kai, 29, disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika kapal berkenaan dalam perjalanan melalui Selat Melaka dari Hong Kong ke Brazil.

“Mangsa disahkan jatuh ke dalam laut oleh nakhoda kapal berkenaan. Dia disyaki tidak memakai jaket keselamatan dan hilang pada kedudukan 17.2 batu nautika barat daya Pulau Ketam.

“Op SAR diaktifkan pada pukul 9.30 malam sebaik menerima maklumat berkaitan kehilangan mangsa daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohammad Rosli berkata APMM menggerakkan bot Penggalang 31 dan helikopter AS365N3 Dauphin ke lokasi kejadian dengan dibantu aset Pasukan Polis Marin iaitu PC32 dan bot RHIB3 milik Tentera Laut Diraja Malaysia untuk mencari mangsa.

Beliau berkata operasi SAR dibahagikan kepada empat sektor merangkumi kawasan berkeluasan 182 batu nautika persegi dari perairan One Fathom Bank (OFB) hingga ke Beting Angsa di perairan Selangor.

Katanya, pencarian mangsa akan diteruskan sehingga kru kapal kargo itu dijumpai.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619