AGENDA

Polis serbu unit kondominium jadi pusat judi dalam talian

21 Ogos 2020, 8:10 AM
Polis serbu unit kondominium jadi pusat judi dalam talian

PETALING JAYA, 21 OGOS: Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian pada serbuan di sebuah unit kondominium di Ara Damansara, di sini semalam.

Enam monitor komputer, 21 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, satu set ‘router’ dan wang tunai berjumlah RM2,773, adalah antara barang yang dirampas dalam serbuan itu.

Mereka yang ditahan dalam serbuan pada 8 pagi semalam itu adalah rakyat tempatan berumur antara 20 dan 24 tahun, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kumpulan itu beroperasi sejak sebulan lepas melalui iklan dan pertaruhan di Facebook atau WhatsApp, dengan hasil kutipan perjudian antara RM3,000 dan RM5,000 sehari.

“Ketika serbuan, polis mendapati beberapa skrin komputer memaparkan kegiatan perjudian dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, 11 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam judi loteri awam tanpa lesen dan perjudian dalam talian pada serbuan di sebuah gerai makan di Taman Medan, di sini.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 46 tahun itu ditahan dalam operasi pada pukul 6 petang semalam dan polis merampas 11 telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu, serta wang tunai berjumlah RM368.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan sejak dua bulan lepas dan beroperasi dengan pembelian menggunakan aplikasi WhatsApp.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619