AGENDA

Polis tarik balik syarat memburu 3,500 lesen senjata api

19 Ogos 2020, 1:27 PM
Polis tarik balik syarat memburu 3,500 lesen senjata api

DENGKIL, 19 OGOS: Kebenaran memburu bagi 3,500 pemegang lesen senjata api ditarik balik, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, penarikan semula lesen berkenaan dibuat bagi menghentikan kegiatan pemburuan haram, yang dilihat semakin berleluasa di negara ini.

“Kami telah mengeluarkan kira-kira 8,500 pemegang lesen senjata api dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,500 telah dibatalkan syarat untuk memburu, manakala bakinya akan ditarik balik secara berperingkat.

“Bagaimanapun, syarat menjaga keselamatan kekal jika individu itu mempunyai tanah atau kebun dan mahu menjaga tanamannya daripada diganggu oleh haiwan perosak, kami membenarkan tetapi bersyarat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Paya Indah Wetlands, hari ini.

Abdul Hamid berkata, jika mereka ingin menembak haiwan perosak bagi melindungi tanaman, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan balai polis berhampiran.

“Ya, mereka (yang mempunyai lesen senjata api) boleh menembak haiwan perosak tetapi bukan untuk memburu, dan perkara itu perlu dimaklumkan kepada Perhilitan dan balai polis berdekatan, bahawa berlaku kegiatan menembak haiwan perosak,” katanya.

Beliau berkata, penarikan lesen senjata api berkenaan hanya dibuat di Semenanjung Malaysia sahaja, manakala Sabah dan Sarawak dikecualikan.

“Sabah dan Sarawak kami akan melaksanakannya (penarikan lesen senjata api) di kemudian hari, kerana kedua-dua negeri berkenaan mempunyai undang-undang khas memburu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid berkata pihaknya juga akan menarik semua lesen pemilikan raifal, yang dikenal pasti senjata api paling kerap digunakan untuk memburu hidupan liar.

Beliau berkata, penarikan lesen raifal itu adalah kerana kebanyakan raifal yang digunakan pemburu hidupan liar telah diubah suai.

“Ia berikutan timbul isu kebimbangan serta kemungkinan senjata api berkenaan, jatuh ke tangan kumpulan pengganas apabila senjata api itu telah diubah suai,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619