AGENDA

Tiada kompromi dengan sebarang elemen gangsterism - KPN

12 Ogos 2020, 8:09 AM
Tiada kompromi dengan sebarang elemen gangsterism - KPN

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen gangsterism, termasuk tindakan mereka yang mengugut mana-mana pemberi maklumat berkaitan kes jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata demikian semasa merujuk kejadian pemilik Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, yang mendakwa beliau diugut gangster susulan pembongkarannya mengenai aktiviti perjudian di Sungai Buloh, baru-baru ini.

“Saya tidak boleh terima elemen gangsterisme yang berlaku kepada dia (Mohd Asri) atau sesiapa sahaja yang berkongsi maklumat mengenai kegiatan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Mohd Asri bahawa beliau dihubungi oleh individu mengaku ‘ayahanda’ yang tidak berpuas hati dengan perbuatannya mendedahkan kegiatan judi di Sungai Buloh yang tular di media sosial.

Pada majlis itu, Timbalan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Shukri Abdullah dilantik memangku jawatan sebagai pengarah, selepas Datuk Seri Rosli Ab Rahman bersara wajib hari ini.

Sementara itu merujuk kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor yang dijangka bersara tidak lama lagi, Hamid berkata calon penggantinya akan diputuskan kerajaan nanti.

“Sebenarnya beliau (Mazlan), dari awal bulan ini sudah pun membuat persediaan dan bersedia dengan apa juga keputusan kerajaan, tetapi untuk persaraan memang dia sudah bersedia. Beliau adalah seorang peguam yang belajar di England, dan mempunyai pengalaman yang lama dalam Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman dan juga pernah berkhidmat di peringkat bawah daerah, negeri,” katanya.

Bernama difahamkan polis akan mengadakan Majlis Serah Terima Tugas bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Bukit Aman esok.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Mazlan yang dijadual menamatkan perkhidmatan pada 14 Ogos ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619