AGENDA

Kerajaan kaji kembalikan mata pelajaran berteras Rukun Negara

7 Ogos 2020, 12:09 AM
Kerajaan kaji kembalikan mata pelajaran berteras Rukun Negara

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kerajaan bercadang mengembalikan semula mata pelajaran yang berkisar kepada amalan Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara seperti yang pernah ada suatu ketika dahulu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata perkara itu akan diperhalusi melalui penubuhan jawatankuasa teknikal kementeriannya bersama tiga kementerian lain iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Pendidikan.

"...untuk saya memberi gambarannya, ia seperti mata pelajaran Tata Rakyat yang mana kita diajar tentang apakah itu masyarakat majmuk, perpaduan, sikap bertoleransi, hormat-menghormati, adat resam dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara serta Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif Perpaduan, semalam.

Pada 9 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan.

Mengulas lanjut, Halimah berkata adalah penting untuk membangunkan pendidikan Rukun Negara agar lima prinsipnya dapat dihayati oleh masyarakat terutama generasi muda.

Justeru bagi tujuan penghayatan, Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara menjadi platform utama kementerian untuk melaksanakan agenda ini.

Sehingga kini, terdapat 6,621 Kelab Rukun Negara ditubuhkan merangkumi 5,864 sekolah rendah dan menengah kebangsaan manakala 757 lagi adalah dari sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina serta Tamil.

Katanya selain itu, sejumlah 172 Sekretariat Rukun Negara terdapat di institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara yang diharap dapat menyemarakkan lagi kefahaman tentang Rukun Negara menerusi program yang diadakan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619