AGENDA

Rakyat Malaysia di Lubnan selamat - Hishammuddin

5 Ogos 2020, 5:20 AM
Rakyat Malaysia di Lubnan selamat - Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Semua rakyat Malaysia di Lubnan dilaporkan selamat, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Beirut dalam laporan awalnya.

Kira-kira tengah malam Selasa waktu Malaysia, berlaku kebakaran diikuti letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan di ibu negara Lubnan, Beirut, dipercayai tempat bahan letupan disimpan.

Letupan itu mencetuskan kemusnahan di seluruh bandar dan menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut dan lebih 3,000 orang cedera.

Hishammuddin berkata pihak kedutaan juga menasihati rakyat Malaysia yang tinggal di negara itu agar kekal berada di dalam rumah.

“Malaysia berkongsi kesedihan dan ingatan serta doa kami mengiringi insan-insan kuat di Lubnan. Kami bersedia untuk memberi sokongan dalam apa juga cara yang mungkin,” katanya dalam ciapan terbaharu di akaun Twitternya.

Malaysia adalah sebahagian daripada Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) bagi tugas menjaga keamanan di selatan Lubnan dan dikhuatiri sebilangan anggota pasukan mungkin berada di Beirut ketika letupan itu berlaku.

Tiada laporan setakat ini sama ada terdapat kapal Malaysia atau kapal yang mempunyai kru Malaysia di pelabuhan itu semasa kejadian.

Presiden Lubnan Michel Aoun dilaporkan telah mengisytihar tempoh berkabung selama tiga hari.

Sementara itu, DAP dalam kenyataan menggesa kerajaan Malaysia agar menghulurkan bantuan kepada Lubnan pada waktu yang sukar ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619