AGENDA

Teroka ruang baharu atasi pengangguran belia

5 Ogos 2020, 4:57 AM
Teroka ruang baharu atasi pengangguran belia

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus meneroka ruang baharu untuk dimanfaatkan golongan belia khususnya bagi mengatasi isu pengangguran belia secara efektif dan holistik, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata KBS melalui inisiatif kolaborasi rentas kementerian akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk memastikan kebajikan golongan belia di negara ini terjaga.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PAKATAN-Tebrau) yang ingin tahu situasi pekerjaan belia ketika penularan wabak Covid-19 dan apakah inisiatif kerajaan bagi membantu belia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 terutamanya isu pekerjaan.

Bagi mengatasi isu pengangguran dalam kalangan belia pasca-Covid-19, Wan Ahmad Fayhsal berkata antara insiatif dilaksana KBS adalah melancarkan Skim Perantisan Nasional (SPN) pada 23 Julai lepas.

“Sehingga 3 Ogos lepas, seramai 903 belia telah berdaftar untuk SPN,” katanya sambil menambah skim itu akan memberi pengalaman bekerja kepada golongan belia melalui jaminan pekerjaan oleh syarikat atau organisasi yang terlibat serta membantu melonjakkan kebolehpasaran belia pasca-Covid-19.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata inisiatif lain yang dilaksanakan KBS adalah menerajui pembangunan Single Landing Page atau pusat sehenti yang dinamakan Sistem MyBelia.

“Sistem ini menyediakan maklumat bersepadu mengenai inisiatif-inisiatif disediakan kerajaan dan bukan kerajaan yang merangkumi peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, latihan dan kemahiran serta dana dan kemudahan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu juga telah melaksanakan Program myGIG dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Jun lepas untuk meningkatkan keterlibatan belia dalam ekonomi gig atau ekonomi perkongsian bagi menjana pendapatan, sama ada secara sambilan atau kekal.

“Program itu terdiri daripada myGIG Servis yang menggunakan platform e-Rezeki, dengan sokongan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai rakan strategik. Program ini dijangka memberi manfaat kepada 1,000 orang (578 belia sudah berdaftar).

“myGIG Digital Freelance menerusi platform Global Online Workforce (GLOW) dijangka memberi manfaat kepada 1,000 orang (632 orang sudah berdaftar). Program ini memperkenalkan peluang pekerjaan baharu secara digital dengan kemahiran tertentu seperti ‘programming’, pereka grafik dan lain-lain perkhidmatan bernilai tambah tinggi,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619