AGENDA

Kes conteng mural pemimpin selesai dalam masa terdekat

29 Jul 2020, 7:19 AM
Kes conteng mural pemimpin selesai dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Siasatan terhadap kes menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara akan diselesaikan dalam masa terdekat, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata pihaknya telah mendapat beberapa petunjuk baharu dalam siasatan kes berkenaan.

“Saya tidak akan mendedahkan petunjuk baharu kerana masih dalam siasatan. Oleh itu, saya mohon berikan kami sedikit masa untuk menyelesaikan siasatan kes ini.

“Selain itu, suspek juga telah dikenal pasti berdasarkan risikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang baharu di sini hari ini.

Mazlan berkata setakat ini hanya satu sahaja kertas siasatan telah dibuka berhubung kes terbabit dan beberapa laporan polis telah dilakukan.

Baru-baru ini, mural memaparkan potret antaranya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 Shah Alam, Selangor.

Kejadian vandalisme itu disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan.

Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619