AGENDA

Penjara pemandu mabuk naik hingga 15 tahun

27 Jul 2020, 5:25 AM
Penjara pemandu mabuk naik hingga 15 tahun

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000.

Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu dibuat Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut memaklumkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan dewan kali ini.

Menurut rang undang-undang itu, bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan pula, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Rang undang-undang berkenaan juga menyebut, pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan dan tidak kurang tujuh tahun bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan.

Pindaan itu juga turut melibatkan had alkohol yang ditetapkan iaitu 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100 ml darah atau 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing.

Selain itu, rang undang-undang berkenaan juga mengadakan peruntukan bagi takrif  'kenderaan mikromobiliti'  iaitu mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik.

Rang undang-undang yang antaranya bertujuan meminda Seksyen 41, 42, 43, 44 dan 45 akta itu tidak melibatkan perbelanjaan wang tambahan pihak kerajaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619