AGENDA

Hina kerabat diraja Selangor, suri rumah dipenjara dua bulan

24 Jul 2020, 5:05 AM
Hina kerabat diraja Selangor, suri rumah dipenjara dua bulan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seorang suri rumah dihukum penjara dua bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Selangor di laman Facebook pada Jun lepas.

Hakim Rihaida Rafie menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Nurul Ain Mat Nayan, 32, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Siti Nurul Ain didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet menerusi telefon bimbit jenis Samsung A30 secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komen jelik berkaitan kerabat diraja Selangor di laman Facebook dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Istana Mestika, Seksyen 7 di sini kira-kira 10.26 pagi pada 26 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar lebih sensitif dan peka sebelum membuat apa-apa hantaran di media sosial.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dan kelihatan sebak dalam rayuannya meminta agar hukuman lebih ringan dikenakan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619