AGENSI

Petugas Covid-19 Selangor wajibkan pelitup muka di tempat awam

23 Jul 2020, 8:46 AM
Petugas Covid-19 Selangor wajibkan pelitup muka di tempat awam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka khususnya di tempat awam.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua kes positif membabitkan penularan tempatan baru-baru ini menunjukkan wabak itu masih wujud dalam komuniti.

"Kami di Selangor menetapkan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori khusus di tempat awam, kecualilah di rumah sendiri atau dalam kereta.

"Ini menunjukkan virus ini masih dalam komuniti kita. Ia masih bersama kita. Saya harap tiada gelombang kedua, namun kes di Gombak dan Hulu Langat itu menunjukkan virus itu ada dalam komuniti kita," katanya memetik laporan Astro Awani.

Peningkatan kes penularan tempatan di Selangor menyebabkan daerah Gombak dan Hulu Langat kembali berada di zon kuning.

Beliau berkata orang ramai perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) terutama pemakaian pelitup muka dan tidak terlalu selesa dengan kembali kepada norma kehidupan lalu.

Dr Dzulkefly turut bimbang dengan kes tidak bergejala kerana ia memberikan impak yang besar dan semua pihak perlu peka untuk menangani penularan wabak.

"Saya tegaskan sekali lagi, yang tidak bergejala itu adalah lebih bahaya kerana dia menyangka dia sihat. Kita kena tahu bahawa beban virus adalah maksimum sehari dua sebelum bergejala.

"Bayangkan sebelum bergejala itulah berlakunya jangkitan itu apabila kita batuk bersin dan sebagainya dan kita buat sentuhan-sentuhan, bersalaman dan sebagainya," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619