AGENDA

Sultan Selangor murka insiden conteng mural Agong, KP kesihatan

20 Jul 2020, 9:25 AM
Sultan Selangor murka insiden conteng mural Agong, KP kesihatan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj murka dan dukacita terhadap perbuatan menconteng mural pemimpin negara termasuk Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.

Baginda bertitah contengan dengan kata-kata kesat di potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua pengarah kesihatan dan pemimpin lain sebagai perbuatan sangat biadab.

"Beta kesal dan kecewa kerana kejadian merosakkan hasil karya seni berlaku di negeri ini apatah lagi beta amat menghargai karya seni pelukis tempatan seumpamanya.

"Beta berpandangan kejadian ini bukan dilakukan oleh orang kurang siuman atau budak nakal tetapi lebih kepada bermotifkan politik kebencian," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Sultan Selangor turut berharap pelaku ditangkap segera dan dihadap ke muka pengadilan.

Mural berkenaan dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26 dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Pada 10 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli melawat mural tersebut diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda baginda.

Dr Noor Hisham turut bergambar bersama mural potretnya dan menghargai hasil seni tempatan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619