AGENDA

KPN: Penjara 20 tahun, denda maksimum memadai hukum pemandu mabuk

17 Jul 2020, 7:12 AM
KPN: Penjara 20 tahun, denda maksimum memadai hukum pemandu mabuk

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan cadangan kerajaan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes melibatkan pemandu mabuk memadai.

Beliau berkata pihaknya pernah mencadangkan hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap kelompok berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

"Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukan,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan sumbangan kasut oleh Syarikat Bata Primavera Sdn Bhd di Bukit Aman di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kerajaan akan mengusulkan pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wee berkata pindaan juga mencadangkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

Pindaan akta itu dijadual dibentang pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Polis Diraja Malaysia menerima 60,000 pasang kasut dianggar bernilai RM3.6 juta daripada syarikat berkenaan.

Mengulas sumbangan itu, Abdul Hamid berkata kasut terbabit akan diagihkan kepada warga polis dan ahli keluarga mereka sebagai penghargaan kepada mereka yang bertugas memerangi penularan pandemik Covid-19.

Pihak Bata juga memaklumkan warga polis akan menikmati potongan sebanyak 20 peratus bagi sebarang pembelian kasut jenamanya di semua kedai syarikat itu di seluruh negara, katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619