EXCO

Pelbagai kluster Covid-19 punca Selangor catat kes tertinggi

15 Jul 2020, 7:04 AM
Pelbagai kluster Covid-19 punca Selangor catat kes tertinggi

SHAH ALAM, 15 JULAI: Jumlah jangkitan Covid-19 di Selangor kedua tertinggi di negara ini berpunca daripada kepelbagaian kluster, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata antara kluster terbesar ialah Kluster Petaling dan Kluster Hulu Langat sementara kluster paling lama ialah Kluster Depot Tahanan Imigresen di Sepang yang sehingga kini masih mempunyai kes aktif.

"Ketika awal penularan wabak, Sabak Bernam, Hulu Langat dan Sepang merekodkan zon hijau. Tetapi selepas wujud pelbagai kluster, secara tiba-tiba jumlah jangkitan Covid-19 bagi kawasan berkenaan naik.

"Antara punca lain kita mencatat kes tertinggi ialah berpunca dari kepadatan penduduk di negeri sekali gus menyebabkan jangkitan berlaku lebih cepat, Selangor mempunyai 6.5 juta rakyat, dan sekiranya dibanding dengan nisbah kes, ia masih boleh dikawal," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, Selangor merekodkan 2,093 kes Covid-19 dengan satu kes positif baharu.

Kini, lapan daerah termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Gombak merekodkan zon hijau sementara Sepang masih zon kuning dengan 11 kes aktif.

Pada masa sama, Kuala Lumpur merekodkan kes tertinggi di Malaysia dengan 2,446 kes, diikuti Selangor 2,093 dan Negeri Sembilan 1,027.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619