AGENDA

Sebahagian murid kembali ke sekolah hari ini

15 Jul 2020, 12:05 AM
Sebahagian murid kembali ke sekolah hari ini

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Hampir empat bulan tidak menjejakkan kaki ke sekolah, kini giliran pelajar tingkatan satu hingga empat, murid tahun lima dan enam serta pelajar kelas peralihan pula kembali ke sesi persekolahan hari ini.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat ancaman pandemik Covid-19 pada Mac lepas, semua pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah hanya menggunakan pendekatan ‘Home-Based Learning’ bagi meneruskan pembelajaran.

Mengambil maklum kekangan dihadapi oleh pelajar, ibu bapa dan guru semasa pelaksanaan pembelajaran dalam talian itu, keputusan pembukaan sekolah diumumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin dilihat tepat pada masanya bagi memastikan motivasi pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat ditingkatkan.

Namun, pihak sekolah dan pelajar perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerana penularan wabak Covid-19 masih ada dalam komuniti dan setiap orang perlu membiasakan diri dengan kebiasaan baharu.

Sementara itu, pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Selain pelajar dan guru, ibu bapa juga turut sibuk menyusun kembali jadual, mengatur masa dan menguruskan keperluan harian anak-anak bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar.

Pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam itu dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum ini, sesi persekolahan dibuka semula kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Mengenai perkembangan Covid-19, terdapat empat kes baharu semalam, kesemuanya melibatkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619