AGENDA

KPN: Kes 'sejuk beku' dibuka semula, disiasat

12 Jul 2020, 5:12 AM
KPN: Kes 'sejuk beku' dibuka semula, disiasat

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Kesemua kes-kes ‘sejuk beku’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lepas akan diteruskan semula siasatan dengan pegawai bertanggungjawab diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata antara kes berkenaan ialah penipuan dalam talian dengan banyak kes tertangguh disebabkan pegawai penyiasat tidak melaksanakan tugas dengan baik, termasuk ada yang tidak menjalankan siasatan.

“Selain itu, ada juga kes JSJK yang mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah dan ada laporan polis yang dibuat pada 2013 (tapi siasatan) tidak berjalan,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya akan mengenal pasti pegawai penyiasat yang bertanggungjawab untuk diarah menyelesaikan kes masing-masing.

“Kes-kes sejuk beku ini perlu dibuka semula untuk memberi keadilan kepada mangsa yang teraniaya dan kami cari siapa pegawai penyiasat berkenaan, beri dia amaran satu bulan untuk siapkan siasatan kes,” katanya.

Abdul Hamid juga menegaskan pihaknya tidak akan memberi sebarang ruang kepada kegiatan perjudian dalam talian.

“Judi dalam talian memang saya lawan habis-habisan, saya tidak bagi peluang dan saya haramkan mana-mana tauke judi datang untuk berjumpa dan berbaik dengan saya,” katanya.

Beliau turut menegaskan tiada lagi aktiviti ‘mewah’ dalam kalangan pegawai polis dibenarkan, termasuk mengadakan majlis keramaian bagi merayakan hari lahir pegawai tinggi di pejabat mahupun mengadakan lawatan ke mana-mana tempat.

“Saya haramkan semua majlis berfoya-foya di pejabat.

“Ada pegawai-pegawai tinggi polis dibelanja makanan laut sehingga bil mencecah ribuan ringgit, siapa hendak bayar semua itu? Budaya sedemikian saya hendak buang dan tidak mahu ada dalam polis,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619