AGENDA

Pelajar tingkatan 4, 6, asrama kembali sekolah 15 Julai

9 Jul 2020, 6:33 AM
Pelajar tingkatan 4, 6, asrama kembali sekolah 15 Julai

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Pelajar tingkatan empat dan enam semester satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan kembali bersekolah pada 15 Julai ini.

Dalam kenyataannya hari ini, KPM berkata keutamaan diberi kepada kumpulan pelajar tersebut bagi memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam pada 2021.

Bagi pelajar tingkatan satu, dua dan tiga di sekolah berasrama, KPM berkata mereka akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos.

"Mereka akan meneruskan pembelajaran yang berasaskan home-based learning sehingga kembali semula ke sekolah nanti," demikian menurut kenyataan itu.

KPM berkata keputusan itu terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).

KPM sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi pelajar bukan kelas peperiksaan awam adalah secara berperingkat mulai 15 Julai 2020.

Dalam konteks sekolah berasrama, KPM berkata beberapa penambahbaikan dibuat ke atas tatacara pengurusan asrama berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

Penambahbaikan itu dimasukkan sebagai tambahan kepada Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan telah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ini, katanya.

KPM juga tiada halangan untuk membenarkan pelajar pulang ke rumah bagi menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga berikutan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard sedia ada, demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619