AGAMA

Warga asing masih tidak dibenar solat jemaah di masjid, surau

3 Jul 2020, 9:02 AM
Warga asing masih tidak dibenar solat jemaah di masjid, surau

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Warga asing masih tidak dibenarkan untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid dan surau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat untuk membenarkan warga asing solat berjemaah di masjid dan surau, pihaknya perlu meneliti laporan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengetahui keadaan di masjid dan surau yang kini sudah mula dibuka.

“Kita mahu lihat laporan daripada Jawi (mengenai masjid di bawah Jawi) dan beberapa tempat lain. Sekiranya (keadaan) stabil dan tidak menjadi masalah maka pada masa itu kita akan dapat satu keputusan.

Kita rasa dalam masa sebulan dua lagi kita boleh selesaikan masalah ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Misi Musa'adah Pasca Covid-19 Jawi Food Bank anjuran Jawi di sini, hari ini.

Pada program itu, Zulkifli menyampaikan bantuan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada 50 penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa di sini.

Zulkifli dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini diperluaskan dengan memberi kebenaran kepada surau dan dewan yang sesuai untuk mendirikan solat Jumaat.

Menurutnya pelaksanaan solat Jumaat juga diperluaskan dengan memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619