AGENDA

Lelaki warga emas korban kedua rabies di Sarawak tahun ini

27 Jun 2020, 2:59 AM
Lelaki warga emas korban kedua rabies di Sarawak tahun ini

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 62 tahun dari Sibu, Sarawak pada 23 Jun disebabkan wabak rabies, menjadikannya kes kedua yang dilaporkan di negeri itu tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan rabies di negeri itu sebanyak 24 kes termasuk 23 kematian sejak wabak tersebut diisytiharkan pada 1 Julai 2017.

Jangkitan terbaharu itu disahkan melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Perubatan Malaysia semalam, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Dr Noor Hisham, lelaki tersebut digigit seekor anjing milik saudaranya di betis kanan ketika mengunjungi rumah saudaranya itu di Jalan Sentosa Barat, Sibu pada 12 Mei lepas.

Mangsa mencuci luka menggunakan air dan sabun selama 15 minit serta mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan, namun dia tidak hadir semula ke fasiliti berkenaan bagi mendapatkan suntikan vaksin anti-rabies, katanya.

Pada 16 Jun, mangsa mengalami lemah kaki dan sembelit, dan pada 19 Jun dia dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut serta dimasukkan ke hospital pada hari sama sebelum meninggal dunia pada 7 malam, 23 Jun, kata Dr Noor Hisham.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai, khususnya di Sarawak, agar mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan rabies termasuk mencuci bahagian yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur dan mendapatkan rawatan segera jika digigit haiwan peliharaan tanpa sebab atau anjing liar.

"Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan dan elakkan ia (anjing) bercampur dengan haiwan liar sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin.

"Ahli keluarga digesa memaklumkan kepada doktor atau pihak kesihatan sekiranya terdapat dalam kalangan ahli keluarga digigit haiwan khususnya anjing dan kucing bagi memastikan rawatan sewajarnya segera diberikan," katanya.

Untuk rekod, kes rabies pertama dilaporkan tahun ini melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun di Sibu yang meninggal dunia pada 26 Mac.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619