AGENDA

Bekalan elektrik tidak dipotong sehingga 30 September - TNB

20 Jun 2020, 5:38 AM
Bekalan elektrik tidak dipotong sehingga 30 September - TNB

PUTRAJAYA, 20 JUN: Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersetuju untuk menghentikan aktiviti pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September ini bagi pengguna dengan bil elektrik tertunggak, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Justeru, beliau berkata pengguna tidak perlu risau kerana bekalan elektrik tidak akan dipotong sekiranya mereka menghadapi kesukaran kewangan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas susulan penularan Covid-19.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu bil elektrik di sini, hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Razib Dawood.

Ditanya sebab pembaca meter TNB tidak bertugas semasa PKP yang menyebabkan berlaku peningkatan bacaan, Shamsul berkata TNB tidak membenarkan mereka keluar membuat bacaan meter selepas mendapat pandangan pelbagai pihak terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Keputusan itu atas nasihat MKN mengambil kira kepentingan pelbagai pihak," katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, TNB mengikut saranan kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Beliau berkata, TNB hanya fokus kepada perkhidmatan penting yang ada bagi memastikan bekalan elektrik tidak terganggu semasa PKP kerana pengguna sentiasa berada di rumah.

TNB mempunyai sistem untuk mengira bacaan apabila bil terlambat dan tatacara pengiraan adalah teratur yang juga diluluskan ST.

Para pembaca meter TNB memulakan tugas sejak 15 Mei selepas status perkembangan Covid-19 di negara berubah dengan kes harian berkurangan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619