AGENDA

Kastam rampas kontena minuman keras RM2.6 juta di Pelabuhan Klang

19 Jun 2020, 6:37 AM
Kastam rampas kontena minuman keras RM2.6 juta di Pelabuhan Klang

PETALING JAYA, 19 JUN: Sembilan kontena berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai RM5.6 juta termasuk cukai, dirampas disyaki melibatkan sindiket penyeludupan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 12 Jun lepas.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Zon Tengah Datuk Zulkarnain Mohamed Yusuf berkata hasil pemeriksaan ke atas kesemua kontena itu menemui pelbagai jenis arak dipercayai tidak mendapat kelulusan kastam.

Beliau berkata pihaknya melakukan rampasan kesemua arak berkenaan yang dianggar bernilai RM2.6 juta melibatkan kuantiti rampasan sebanyak 165,000 liter minuman keras.

"Rampasan ini turut membawa kepada penemuan modus operandi baharu pihak sindiket dipercayai melibatkan warga asing yang mendapat bantuan ejen perkapalan bagi tujuan penyeludupan," katanya pada sidang media di Jabatan Kastam Zon Tengah di Kelana Jaya di sini hari ini.

Zulkarnain berkata ejen perkapalan terbabit didapati turut bersekongkol dengan memanipulasi data sistem di pelabuhan bagi mengaburi pihak kastam.

"Mereka ini didapati menggodam kata laluan sistem pelabuhan pegawai kastam bagi meminda status kontena yang ditahan kepada 'release'," katanya.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya mengenal pasti ejen perkapalan yang terlibat sementara tindakan lanjut sedang dilaksana bagi mengesan ejen lain bagi membantu siasatan.

Zulkarnain berkata kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619