AGENDA

Bekas guru besar dijel, salah guna wang zakat

17 Jun 2020, 11:53 PM
Bekas guru besar dijel, salah guna wang zakat

KUALA TERENGGANU, 18 JUN: Seorang bekas guru besar dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah menyalahgunakan wang zakat sumbangan sebuah syarikat yang sepatutnya disalurkan kepada pelajar sekolah rendah.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Zabidah Sulaiman, 59, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang melepas dan membebaskan wanita itu pada Jun 2019 daripada pertuduhan.

Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan mensabitkan Zabidah atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat sebanyak RM5,000 yang disumbangkan Syarikat Ladang Rakyat Terengganu untuk diberikan kepada 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru 2 di Kemaman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di sekolah tersebut di bilik mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd pada 13 Julai 2015 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abdul Wahab membenarkan pelaksanaan hukuman ke atas wanita itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan mengenakan jaminan sebanyak RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619