AGENDA

Abim: Lanjutkan moratorium, pastikan rakyat dibela

17 Jun 2020, 9:17 AM
Abim: Lanjutkan moratorium, pastikan rakyat dibela

SHAH ALAM, 17 JUN: Kerajaan digesa melanjutkan moratorium enam bulan yang bakal berakhir September ini, kata presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata pihaknya bimbang sebahagian rakyat belum bersedia menghadapi fasa kehidupan selepas tempoh moratorium berakhir terutama golongan yang diberhentikan kerja.

"Secara prinsipnya, Abim menyambut baik skim moratorium ini yang ternyata memberi kelegaan kepada rakyat ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun Abim menyuarakan kekhuatiran sebahagian masyarakat kerana bermula Oktober mereka perlu menanggung kembali komitmen pembayaran balik pinjaman yang menyulitkan golongan dibuang kerja atau hilang punca pendapatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Muhammad Faisal berkata, kerajaan perlu memastikan program dan inisiatif memberi semula pekerjaan kepada rakyat yang diberhentikan kerja mempunyai tempoh sasaran keberhasilan yang jelas serta munasabah.

"Selain itu subsidi upah kepada majikan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga wajar dilanjutkan sehingga akhir tahun ini untuk memastikan majikan dapat meneruskan operasi dan melanjutkan penggajian pekerja sedia," katanya.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman perniagaan selama enam bulan susulan penularan wabak Covid-19.

Penangguhan pembayaran balik pembiayaan itu melibatkan jumlah sekurang-kurangnya RM100 bilion dengan bank tempatan menawarkan penangguhan sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana bermula 1 April.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619