AGENSI

Polis pantau pematuhan SOP di Zoo Negara

15 Jun 2020, 7:44 AM
Polis pantau pematuhan SOP di Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Anggota polis kini ditempatkan di Zoo Negara di sini bagi memastikan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kini ditugaskan untuk memantau pergerakan setiap pengunjung yang hadir ke Zoo Negara.

"Setiap pengunjung diminta mematuhi SOP supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Baru-baru ini tular gambar yang menunjukkan pengunjung tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika menonton pertunjukan di Zoo Negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmad Lana berkata pengunjung agak ramai pada minggu pertama pembukaan Zoo Negara pada 10 Jun lepas dan mengakui ada antara mereka yang tidak mematuhi SOP.

Menurut beliau, seramai 300 hingga 700 pengunjung hadir setiap hari dan bilangannya meningkat sehingga 1,500 orang pada hari minggu.

"Kita akui pada awal pembukaan Zoo Negara selepas beberapa bulan ditutup kerana Covid-19, keadaan agak kelam kabut tetapi sekarang kita memastikan pengunjung mematuhi SOP dan dengan pemantauan polis serta agensi penguat kuasa lain turut membantu melancarkan operasi," katanya kepada pemberita.

Rosly berkata pihaknya akan menyediakan nombor kepada pengunjung yang datang dalam kumpulan keluarga bagi memudahkan SOP PKPP dilaksanakan.

Jelasnya lagi, operasi Zoo Negara akan kembali seperti biasa pada Sabtu ini bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

Tinjauan Bernama di Zoo Negara hari ini mendapati tempat tarikan orang ramai itu dipenuhi pengunjung dan masing-masing dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata kebebasan orang ramai di kawasan tumpuan awam seperti Zoo Negara boleh ditarik balik sekiranya dikesan gagal mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619