BERITA UTAMA

SOP Sidang DNS dipantau ketat, petugas wajib jalani saringan

12 Jun 2020, 8:37 AM
SOP Sidang DNS dipantau ketat, petugas wajib jalani saringan

SHAH ALAM, 12 JUN: Tatacara operasi piawai (SOP) bagi Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14, Tahun 2020 yang dijadualkan pada 13 hingga 24 Julai ini dipantau ketat dengan mewajibkan semua individu terlibat menjalani saringan Covid-19.

Speaker DNS Ng Suee Lim berkata saringan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dilakukan lima hari sebelum persidangan bermula melalui kaedah pandu lalu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan setiap individu.

"Tiada halangan untuk menangguhkan persidangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tetapi SOP (persidangan) dikawal rapi iaitu semua Ahli Dewan Negeri (ADN), EXCO, kakitangan kerajaan dan wartawan terlibat termasuk Dato' Menteri Besar akan dibuat saringan.

"Pemeriksaan suhu badan dilakukan di pintu masuk utama untuk semua petugas sebelum dibenarkan masuk selain perlu mengimbas kod bar aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi menjejak kontak rapat sekiranya berlaku perkara tidak diingini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata tiada keperluan untuk mengosongkan dan mengubah kedudukan kerusi setiap wakil rakyat di dalam dewan persidangan memandangkan jarak sosial tempat duduk sudah menepati piawaian JKNS.

"Kita juga sudah berbincang dengan urus setia untuk membuat sedikit perubahan pada ruang kerja pengamal media supaya tidak terlalu padat di kelompok tempat tersebut termasuk menyediakan ruang makan khusus untuk ADN dan wartawan," katanya.

Pada 17 Mac lalu, DNS meluluskan usul menangguhkan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor ke-14 yang dibuka sehari sebelumnya ke satu tarikh baharu selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19.

Rakyat di negeri ini boleh mengikuti perkembangan sidang yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube TV Selangor dan portal berita SelangorKini sepanjang tempoh dua minggu berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619