AGENDA

UPM lonjak kedudukan dalam ranking universiti terbaik dunia

11 Jun 2020, 12:16 AM
UPM lonjak kedudukan dalam ranking universiti terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Kedudukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam QS World University Rankings 2021, melonjak ke tangga 132 universiti terbaik di dunia berbanding tangga 159 tahun lepas.

Menurut Naib Canselor universiti itu Datuk Dr Aini Ideris, ia merupakan peningkatan secara berterusan selama tujuh tahun berturut-turut, sekali gus membolehkan UPM mengekalkan kedudukan sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia.

“Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UPM naik dalam hampir semua indikator yang dinilai, dengan indikator pelajar antarabangsa meraih markah tertinggi, selari dengan usaha UPM dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program pengantarabangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Katanya kejayaan yang cukup memberangsangkan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen seluruh warga UPM, yang beriltizam untuk meletakkan UPM pada kedudukan yang terbaik di dunia.

Ini juga katanya, selari dengan visi UPM iaitu, menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa yang membantu melonjakkan lagi tahap kecemerlangan UPM, malah turut memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.

“Pencapaian ini menaikkan lagi semangat warga UPM untuk terus mengorak langkah bagi mencapai aspirasi dan sasaran Putra Global 100 (PG100), iaitu menjadi 100 universiti terbaik di dunia dalam tempoh tiga tahun yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, keputusan yang diumumkan itu menyaksikan 1,604 universiti antarabangsa dinilai, namun hanya 1002 universiti dari 93 buah negara sahaja yang tersenarai.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619