AGENDA

Agong kurnia sumbangan pada komuniti gelandangan

10 Jun 2020, 5:59 AM
Agong kurnia sumbangan pada komuniti gelandangan

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada komuniti gelandangan di Pusat Penempatan Gelandangan Desa Tasik Cheras di sini.

Pemberian sumbangan yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah bersempena Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia.

Ini aktiviti pertama Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat hadir, yang diadakan di luar Istana Negara, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 11 pagi disambut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Seramai 49 gelandangan menerima sumbangan berbentuk barang keperluan harian dan wang tunai pada majlis itu yang berlangsung mengikuti tatacara kebiasaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke majlis itu mencerminkan keperibadian tinggi menyantuni golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

“(Ia juga mencerminkan) keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap golongan ini yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah untuk membantu golongan berkenaan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619